Terjemahan, Menterjemah dan Penterjemah

Vote this article:

Thank you for rating this article.

Acap kali anda mendengar perkataan terjemahan, apakah yang terlintas di fikiran anda? Bagaimana pula sekiranya anda memperkenalkan diri sebagai pensyarah atau pelajar dalam bidang terjemahan? Adakah ujaran anda dibalas semula dengan soalan, “Terjemah daripada bahasa apa ke dalam bahasa apa?” atau sekadar menerima respons “Tidak perlu belajar menterjemah, semua individu yang menguasai dua bahasa atau pelbagai bahasa boleh menterjemah secara spontan dan semula jadi.”

Adakalanya ada individu yang mula membuat perbandingan menerusi ayat seperti “Gunakan Google Translate sahaja, mesin lebih pantas daripada manusia.” serta persoalan “Graduan kursus terjemahan mudah hendak mendapat pekerjaan dalam industri berbanding kursus sekian dan kursus sekian?”

 

Bidang

Terjemahan. Satu perkataan yang membawa pelbagai makna apabila digunakan dalam konteks yang berbeza-beza. Bagaimana jika kita ‘melihat’ terjemahan menerusi analogi mata? Semua orang yang mempunyai mata mampu untuk melihat. Tidak perlu sesiapa mengajar kita cara untuk menggunakan mata, mengedipkan mata, mengenyitkan mata, hatta cara untuk menangis. Ramai yang menyedari bahawa mata ialah organ penting tubuh manusia dan wajar dijaga dengan baik. Sekiranya kita ingin mendalami ilmu tentang mata, kita pasti berguru dengan pakar mata. Apabila kita mengalami sakit mata, tiada sesiapa yang berani menanggung risiko dengan membeli ubat daripada sembarangan orang. Begitulah juga dengan terjemahan. Semua individu dwibahasa boleh menterjemah. Namun, kita tidak boleh menuntut ilmu terjemahan daripada sesiapa sahaja dan menawarkan perkhidmatan menterjemah tanpa mengetahui kemampuan sebenar diri.

Perihal terjemahan tidak berlegar sekitar penyediaan sari kata bagi filem untuk memudahkan khalayak menonton wayang atau rancangan televisyen sahaja. Terjemahan juga tidak terhad pada pelajar dan pensyarah yang merujuk buku dalam bahasa Inggeris dan menterjemah ke dalam bahasa Melayu, atau menterjemah abstrak bagi menyiapkan penulisan jurnal dan tesis. Terjemahan tidak wajar dianggap sebagai aktiviti sampingan untuk berhibur atau sekadar menyiapkan tugasan di universiti. Hakikatnya, terjemahan ialah disiplin ilmu yang bersifat rentas disiplin. Penyelidikan dalam bidang terjemahan merangkumi sejarah terjemahan, strategi dan prosedur terjemahan, aplikasi teknologi dalam terjemahan, terjemahan dalam teks pelbagai bidang seperti media, keagamaan, undang-undang dan sains, penyuntingan dan penilaian terjemahan, pelatihan penterjemah, dan sebagainya.

 

Proses

Kepelbagaian yang wujud dalam bidang terjemahan seharusnya menimbulkan kesedaran di minda pelbagai pihak bahawa penterjemahan ialah suatu proses yang kompleks dan sukar. Aktiviti menterjemah ialah tindakan yang diambil oleh penterjemah secara sedar. Langkah demi langkah diambil untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi semasa menterjemah segmen teks daripada satu bahasa ke dalam bahasa yang lain. Pendekatan kognitif dalam proses terjemahan juga melibatkan pelbagai konsep seperti penyelesaian masalah, membuat keputusan, kreativiti, intuisi, analogi, perancangan kaedah, teknik dan rutin yang terlibat dalam terjemahan. Oleh hal yang demikian, perkataan kompleks dan sukar sememangnya tepat dalam menggambarkan proses menterjemah.

Selain itu, proses menterjemah sudah semestinya dipengaruhi oleh faktor penterjemah. Latar belakang penterjemah seperti gender, status sosioekonomi, umur, taraf pendidikan jelas menghadirkan variasi dalam hasil terjemahan. Misalnya karya Sasterawan Negara, A. Samad Said pernah diterjemahkan oleh Hawa Abdullah dan Harry Aveling. Seorang penterjemah wanita yang berasal dari Timur manakala seorang lagi pula penterjemah lelaki dari dunia Barat. Penelitian sarjana terjemahan dan kesusasteraan bandingan memperlihatkan wujud perbezaan antara hasil terjemahan yang dihasilkan oleh Hawa Abdullah dan Harry Aveling. Hawa yang berasal dari Malaysia jelas menghormati Sasterawan Negara dengan mengekalkan elemen budaya dan setia dalam menterjemah setiap mesej dalam ayat yang disusun cantik oleh si pengarang. Namun, Aveling lebih cenderung untuk mengaplikasikan prosedur pengguguran dan meninggalkan perkataan, ayat malah perenggan yang dianggap tidak penting.

Andai ditanya, pasti kedua-dua penterjemah mempunyai alasan dan hujah yang tersendiri. Perkataan yang dianggap penting oleh si A mungkin dianggap tidak penting oleh si B. Makna tersurat yang difahami oleh si C mungkin ditafsirkan sebagai makna tersirat oleh si D. Perkataan rainbow mungkin diterjemahkan menjadi pelangi oleh si E manakala si F lebih sukakan padanan bianglala. Sehingga habis semua abjad A sampai Z digunakan sekalipun, sukar untuk mencari titik persamaan antara dua perspektif yang berbeza. Hal ini benar jika hanya dua versi terjemahan yang diberikan. Bagaimana pula jika ada tiga, lima, tujuh atau sembilan orang penterjemah yang bekerjasama dalam menterjemahkan sebuah karya? Berapa banyak perspektif yang kita perlu pertimbangkan?

 

Terjemah1

 

Produk

Apabila membicarakan tentang produk terjemahan pula, segelintir khalayak di Malaysia masih dibelenggu dengan stigma karya asli lebih baik berbanding dengan karya terjemahan. Pemerhatian boleh dilakukan menerusi perbezaan strategi promosi antara karya terjemahan dengan karya asli, susun atur kedua-dua karya berkenaan di rak kedai buku, serta harga jualan buku. Walaupun begitu, industri terjemahan negara Malaysia tidak wujud berdasarkan persepsi individu atau golongan tertentu. Selagi mana wujud ilmu yang hendak disampaikan, selagi itu wujud permintaan terhadap aktiviti terjemahan. Perancangan secara strategik dan tersusun oleh pihak kerajaan membolehkan karya anak tempatan dan Sasterawan Negara dipromosikan ke seluruh dunia dalam pelbagai bahasa. Situasi ini membuktikan bahawa terjemahan ialah jambatan penghubung antara dua negara, dua bahasa, serta dua kebudayaan yang berbeza.

 

Terjemah2

Karya Yusuf Islam yang bertajuk Why I Still Carry A Guitar diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu oleh pengarang (Anis Shahirah Abdul Sukur) bersama Mohammad Al-Ariff Jasmani. Karya terjemahan ini diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM).

 

Buku, majalah, iklan, berita, manual penggunaan, risalah, dan brosur misalnya dihasilkan dalam pelbagai bahasa. Jika ada produk terjemahan, sudah semestinya ada individu yang membekalkan perkhidmatan untuk menterjemah pelbagai jenis teks tersebut. Aktiviti menterjemah sesuai dijadikan sebagai aktiviti menjana pendapatan sampingan atau pendapatan utama individu. Menarik bukan? Anda sudah mula menanam impian untuk menjadi seorang penterjemah sambilan sambil menjalankan tugas hakiki di pejabat? Mungkin juga sudah ada dalam kalangan pembaca blog SimplySpeaking yang berkira-kira untuk meninggalkan pekerjaan yang melelahkan dan melakukan kerja-kerja terjemahan dari rumah? Bekerja dari rumah secara tidak langsung bermaksud anda mempunyai lebih banyak masa untuk diluangkan bersama ahli keluarga.

Namun, jangan terlalu gopoh. Penulisan ini hanya membincangkan takrif terjemahan menurut Munday (2001), iaitu konsep terjemahan merujuk bidang terjemahan, proses terjemahan dan produk terjemahan. Masih banyak lagi yang belum dan sama-sama kita boleh teroka tentang dunia terjemahan!

 

 

Anis Shahirah Abdul Sukur
Author: Anis Shahirah Abdul Sukur

Anis Shahirah Abdul Sukur, anak kelahiran Pulau Mutiara ini bertugas sebagai pensyarah kanan di Bahagian Pengajian Terjemahan dan Interpretasi, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM). Berbekalkan Ijazah Sarjana Muda Sastera (Terjemahan dan Interpretasi), beliau seterusnya melanjutkan pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana dalam bidang Pengajian Penterjemahan di USM dan pengajian pada peringkat Ijazah Doktor Falsafah di Universiti Malaya (UM) dalam bidang Penterjemahan (Bahasa Melayu).

Selesai pengajian, beliau mempraktikkan ilmu penterjemahan yang dipelajari dengan menjadi salah seorang tenaga pengajar penterjemahan di USM. Antara kursus yang dikendalikan oleh beliau ialah Media dan Penterjemahan, Penyuntingan dan Penilaian Terjemahan, serta Bahasa, Undang-undang dan Penterjemahan. Walaupun kursus yang diajar mencakupi pelbagai aspek dalam bidang terjemahan, minat dan pengkhususan beliau bertumpu pada penterjemahan teks media, serta penyuntingan terjemahan. Selain menterjemahkan karya kontemporari dan teks teknikal, beliau juga berpengalaman menerbitkan penulisan akademik dalam bentuk jurnal, prosiding, ulasan buku, bab dalam buku serta majalah. Penulisan terkini beliau ialah buku bertajuk Fenomena Keinggerisan dalam Iklan Versi Terjemahan yang diterbitkan oleh Penerbit USM

 ● Laman web



Print   Email