Teater “Sarah” arahan Halimi MN: Satu Penelitian Terhadap Konflik Agama dan Falsafah Ketuhanan

Vote this article here:

Thank you for rating this article.

“Sarah” sebuah drama yang ditulis oleh Sasterawan Negara Datuk Noordin Hassan yang mengisahkan sebuah percintaan seorang pemuda Melayu-Islam dan seorang gadis Poland-Yahudi yang tinggal di Pulau Pinang. Teater “Sarah” arahan Halimi MN telah dipentaskan selama tiga malam berturut-turut iaitu pada 16, 17 dan 18 Oktober 2019 di Pelinggam Cahaya, Pusat Pengajian Seni, USM.

Melalui drama ini khalayak difahamkan bahawa sekumpulan kecil orang Yahudi telah menetap di Pulau Pinang dan selepas Perang Dunia ke-2, sebahagian daripadanya telah berpindah ke Australia menaiki kapal Inggeris. Orang Yahudi di Pulau Pinang meneruskan hidup seperti biasa dan melakukan semua pekerjaan yang mampu menyara kehidupan mereka di negeri itu. Sama halnya dengan Sarah, gadis Yahudi yang sering ke rumah-rumah orang Melayu bersama ibunya untuk mengilap kasut. Melalui pekerjaan tersebut, gadis ini akhirnya jatuh hati dengan seorang pemuda bernama Syed Ameer, adik kepada Sharifah Noor iaitu tuan rumah orang Melayu Pulau Pinang yang sudi mendapatkan khidmatnya sebagai pengilap kasut di rumah itu.

Sharifah Noor digambarkan seakan-akan menerima baik hubungan kasih antara adiknya dengan Sarah kerana keperibadian Sarah yang santun dan berbudi pekerti. Konflik berlaku kerana perbezaan agama dan Sarah dipaksa berkahwin dengan lelaki yang seiman dengannya. Demi menyelamatkan hubungan mereka, Syed Ameer mengambil keputusan untuk kahwin lari dan berjanji pada Sharifah Noor bahawa mereka akan kembali setelah semua masalah selesai.

Jika dibaca dan disaring cerita “Sarah” ini secara ringkas, hasil yang khalayak akan perolehi adalah seperti sinopsis yang diterangkan di atas. Akan tetapi, drama ini tidaklah semudah yang disangka. “Sarah” bukan sebuah kisah percintaan berlainan agama yang menggunakan plot linear yang mudah difahami, sebaliknya menampilkan sebuah plot bukan linear melalui sudut pandang setiap individu yang terlibat dalam kisah percintaan tersebut. Lalu khalayak dibawa bersama-sama untuk menghayati kisah percintaan tersebut setelah Syed Ali, sahabat Syed Ameer dan Sharifah Noor bercerita dan mengenang kembali kisah itu. Jauh sebelum itu, drama ini dimulakan dengan menampilkan babak roh-roh dalam persalinan berwarna putih yang masih belum menemui jasad mereka, berjalan-jalan perlahan sambil mempersoalkan Tuhan, tanggungjawab diri, identiti yang belum jelas, keakuan yang kosong dan akhirnya mengaku bahawa Tuhan itu adalah benar. Babak ini nanti akan tampil semula pada penghujung pementasan dan mengingatkan khalayak tentang tuhan, agama dan fitrah diri seorang manusia melalui kisah percintaan Syed Ameer dan Sarah.

Masih tentang plot bukan linear dan kucar-kacir, khalayak tiba-tiba dihadirkan pula dengan kisah Rahimah dan Pak Ku. Dolah, kekasih Rahimah telah menghilang dan Rahimah menantikan kekasihnya yang tak kunjung tiba, manakala Pak Ku pula adalah watak lelaki tua, bongkok dan buta yang sering menziarahi kubur di tepi sungai sebagai tanda pengabdian diri serta keinsafan terhadap masa lalu. Dua watak yang ditampilkan ini tidak jelas fungsinya dalam kisah “Sarah” ini dan seterusnya pula khalayak diatur semula untuk kembali kepada plot cerita “Sarah” melalui penceritaan Syed Ali dan Sharifah Noor.

Peralihan demi peralihan babak yang saling berkait dan tidak berkait dari awal telah mengelirukan khalayak dan ini menuntut fokus pada kisah percintaan Sarah. Namun sekali lagi fokus itu terganggu oleh ruang dreamscape yang menghadirkan babak yang menampilkan hasutan Syed Zabidi dan Subat agar Sarah meninggalkan Syed Ameer yang diyakini mempunyai niat jahat. Hasutan bertujuan meyakinkan Sarah bahawa Syed Ameer bukan lelaki yang tepat selain untuk mengelirukan Sarah yang masih ragu-ragu pada perbezaan agama mereka. Suasana mimpi dan kisah Subat yang tenggelam di laut lalu diselamatkan oleh Syed Zabidi yang ingin mempergunakan Subat untuk kepentingannya telah membuatkan khalayak ketawa namun pada masa yang sama membingungkan khalayak. Fokus khalayak menjadi tidak stabil kerana pada ketika ini khalayak mula mempersoalkan siapa dua orang watak yang menghasut Sarah, adakah watak itu Syed Zabidi dan Subat atau jin yang cuba menghalang Sarah daripada bersatu dengan Syed Ameer dan Islam.

Pujian harus diberikan kepada Saudara Halimi MN kerana telah berjaya mementaskan interprestasinya dalam drama ini. Isu besar seperti agama, falsafah agama dan ketuhanan, manusia dan manusia, jin dan manusia, manusia dan tuhan, manusia dan alam, Yahudi dan Islam, unsur baik dan unsur jahat, rasa tanggungjawab dan cinta memang wujud dalam naskhah drama ini. Noordin Hassan selalu menghadirkan kaitan antara satu drama dengan satu drama yang lain, umpama satu lingkaran dan puzzle. Untuk khalayak memahami dramanya, khalayak juga perlu mengenali dan memahami drama-drama beliau sebelum ini. Ini merupakan satu kaedah mengikat khalayak dan jika khalayak ingin memahami drama tersebut, mereka perlu mengaitkan drama yang ditonton dengan drama sebelumnya kerana ada kisah dan watak yang ditampilkan itu adalah daripada drama-drama sebelum itu. Teknik ini merupakan gaya penulisan Noordin Hassan dan merupakan ciri khas beliau.

Lebih menarik lagi, naskhah Noordin Hassan selalu memaksa khalayak berfikir dan menggali makna dengan cara mengenali pemikiran pengarangnya serta faham falsafah tentang fitrah manusia dan tuhan. Yang kerap timbul adalah kesukaran khalayak atau pembaca naskhah untuk memisahkan garis antara hidup dan mati, dunia realiti dan dunia fana. Saling kaitan antara babak roh dengan persalinan putih yang masih belum menemui jasad dan masih belum mengenali dirinya dan kisah percintaan “Sarah” ini adalah satu mesej yang cuba disampaikan oleh Noordin Hassan iaitu setiap manusia yang sibuk mencari identiti mereka sebenarnya lupa kepada fitrah bahawa diri mereka adalah makhluk tuhan dan sifatnya adalah kembali kepada tuhan. Sesibuk mana pun manusia di muka bumi ini, mereka sebenarnya berjalan atas aturan yang telah ditetapkan oleh tuhan.

Di sebalik semua interpretasi yang dibuat oleh Halimi MN dipentas Pelinggam Cahaya, masih terkesan sesuatu yang kurang. Konflik pencintaan daripada dua agama berlainan iaitu Yahudi dan Islam adalah sebuah pertentangan yang besar dan mengejutkan kerana diketahui bagaimana kisah Yahudi dalam sejarah Islam dan dunia secara umumnya. Namun konflik tersebut tidak dapat dirasakan dalam arahan Halimi MN. Akhiran cerita yang menampilkan Sarah dan Syed Ameer berpegangan tangan dan tersenyum setelah menyatakan hasrat masing-masing untuk pulang ke rumah Sharifah Noor sebenarnya meninggalkan kesan ragu-ragu di hati setiap khalayak. Kisah cinta antara Yahudi dan Islam itu dirasakan seakan-akan tergantung dan tidak membuatkan khalayak mendapat makna yang cukup. Maka jika dikatakan teater “Sarah” ini adalah sebuah kisah cinta yang hebat, tetapi ditangan Halimi MN, kisah cinta itu tidak sekuat tema cinta Yahudi dan Islam seperti yang diuar-uarkan. Berkemungkinan besar, faktor bahasa yang puitis adalah antara penyebab drama ini sukar difahami kerana falsafah pemikiran Noordin Hassan itu harus dicernakan di sebalik bahasa tersebut.

 

Sebagai khalayak, pengkaji yakin bahawa saudara Halimi MN turut berdepan kesukaran untuk menggali falsafah di sebalik “Sarah”. Walau bagaimanapun, pengarah berpengalaman ini harus diberi pujian kerana telah membawa kembali “Sarah” ke pentas Pusat Pengajian Seni USM setelah belasan tahun pementasan sebelumnya di Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur. Syabas dan tahniah Saudara Halimi MN dan seluruh produksi!

 

Wan Hasmah Wan Teh
Author: Wan Hasmah Wan Teh

Dr. Wan Hasmah Wan Teh adalah pensyarah kanan di Bahagian Kesusasteraan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM). Beliau baru enam (6) tahun berkhidmat dengan USM setelah menamatkan pengajiannya di peringkat Doktor Falsafah dalam bidang Teknologi Kreatif dan Artistik dari Universiti Teknologi Mara (UITM). Bidang pengkhususan beliau adalah Kesusasteraan dan Filem, Kesusasteraan dan Budaya serta Teori dan Kritikan Kesusasteraan. Sebelum ini, beliau banyak terlibat dan menerbitkan kajian berkaitan paranormal dalam kesusasteraaan, selain meneliti filem-filem seram Malaysia yang ada hubungkaitnya dengan cerita lisan atau kisah benar sesuatu tempat atau bangsa. Bidang penyelidikan yang sedang ditekuni beliau adalah wanita dalam filem, wanita dan jenayah serta wanita dan perang.

Website 


ABOUT USM

LOGO USM

Universiti Sains Malaysia (USM) is the second oldest university in Malaysia and one of the leading universities in the country.