Tidak boleh dinafikan bahawa, Malaysia merupakan sebuah negara yang kaya dengan pelbagai jenis buah-buahan tempatan yang enak, berwarna-warni dan sangat berkhasiat.
Misalnya, durian yang berkrim dan berasa manis, manggis yang berasa masam-manis dan jambu batu yang kaya dengan vitamin C dan fiber. Buah-buahan ini bukan sekadar sajian bermusim, malah mereka juga mencerminkan biodiversiti negara kita.
Malangnya, selera moden dan pengaruh iklan telah menjarakkan generasi muda daripada buah-buahan tempatan. Kita semakin biasa melihat buah-buahan import seperti epal, oren dan strawberi mengagongkan rak-rak pasar raya dan meja makan kita. Walaupun buah- buahan ini mempunyai daya tarikan tersendiri, tetapi tidak semestinya mereka ini lebih baik dari segi kesegaran dan nutrisi.
Sebagai contohnya, buah betik. Ramai rakyat Malaysia memang membesar dengan menikmati betik sebagai hidangan sihat. Betik kaya dengan vitamin A, vitamin C dan asid folik. Buah ini juga mengandungi enzim papain yang membantu penghadaman dan mengurangkan kembung perut. Warnanya yang terang datang daripada beta-karotena, iaitu suatu antioksidan yang menyokong kesihatan mata dan sistem imun.
Dari sudut kelestarian pula, buah tempatan lebih mesra alam
Manggis, atau digelar sebagai "Permaisuri Buah", mengandungi xanthone. Xanthone merupakan antioksidan yang mempunyai sifat anti-radang dan anti-penuaan. Maka, pengambilan manggis secara berkala boleh membantu meningkatkan imuniti dan kesihatan kulit. Manakala “Raja Buah”, durian mengandungi lemak sihat, vitamin B kompleks dan triptofan. Kajian menunjukkan triptofan (sejenis asid amino) membantu tubuh manusia menghasilkan serotonin, iaitu hormon yang berkait rapat dengan rasa bahagia.
Tidak ketinggalan, buah-buahan lain seperti rambutan, langsat, duku, dan salak turut mempunyai pelbagai manfaat kepada kesihatan manusia. Rambutan tinggi dengan zat besi membantu dalam pembentukan sel darah merah dan mengurangkan risiko penyakit anemia. Buah salak kaya dengan beta-karotena yang membantu penglihatan. Sementara itu, ciku mengandungi vitamin C dan vitamin A serta antioksidan yang dapat meningkatkan sistem imun untuk melawan jangkitan virus dan bakteria.

Buah-buahan import seperti epal, kiwi, dan strawberi sering dilabel sebagai buah "premium", namun dari sudut khasiat, ia tidak semestinya lebih nutrisi berbanding buah tempatan. Misalnya, jambu batu mempunyai kandungan vitamin C empat kali ganda lebih tinggi daripada oren. Manakala buah kiwi dijual pada harga yang sangat mahal untuk beberapa biji sahaja.
Buah-buahan diimport juga mudah rosak dalam cuaca tropika negara kita yang memerlukan penyimpanan sejuk dan sering disembur racun perosak untuk menghalang serangan serangga. Tambahan pula, buah import biasanya dipetik sebelum masak sepenuhnya, disimpan lama dan diangkut ribuan kilometer sebelum tiba ke rak pasar raya. Buah tempatan pula lazimnya dipetik ketika masak dan terus sampai kepada pengguna, menjadikannya ia lebih segar, lebih lazat dan berkhasiat.
Dari sudut kelestarian pula, buah tempatan lebih mesra alam. Ia memerlukan tenaga penghantaran dan penyimpanan yang tinggi, maka mengurangkan pelepasan karbon ke alam sekitar. Membeli buah-buahan tempatan juga membantu memelihara biodiversiti dan menggalakkan penanaman semula buah-buahan warisan yang semakin dilupakan. Misalnya, kundang, cermai, ciku dan mata kucing yang jarang dijumpai di pasaran.
Kita juga boleh menyokong petani-petani tempatan dan komuniti luar bandar yang bergantung kepada hasil pertanian untuk kehidupan dengan memilih buah tempatan. Setiap kali kita membeli seikat pisang emas di pasar tani atau sekilo manggis di pasar malam, kita menyumbang kepada pengukuhan sektor pertanian negara dan mengurangkan kebergantungan kepada produk import.
Buah-buahan tempatan bukan sekadar makanan, ia adalah sebahagian daripada identiti kita. Jadikan betik dalam smoothie harian, tambah jambu batu ke dalam salad, atau nikmati durian sebagai pencuci mulut istimewa. Sebagai pengguna, kita memainkan peranan penting dalam membentuk trend pemakanan tempatan dan menyokong sektor pertanian negara. Jadikan buah-buahan tempatan sebagai sebahagian tetap dalam diet harian kita, bukan sekadar hidangan bermusim. Lain kali ketika anda membeli-belah di pasar raya atau pasar tani, belilah apa yang tumbuh dari tanah kita sendiri.
Rujukan
- https://www.healthline.com/health/food-nutrition/papain
- https://www.sciencedirect.com/science/article/pii/S0022316622068705
- https://research.utm.my/ibd/project/exploring-the-nutritional-contents-and-benefits-of-durian-durio-zibethinus/
- https://www.researchgate.net/post/What-are-the-health-benefits-of-Guava
- https://redcliffelabs.com/myhealth/fruit/chiku-fruit-benefits-nutritional-value-and-more/


