Impak “Kotowaza” Dalam Peningkatan Motivasi Pelajar

Vote this article here:

Thank you for rating this article.

Berbanding dengan pelajar zaman dahulu, pelajar generasi  kini  lebih cekap dan peka kepada perubahan teknologi. Namun begitu, mereka sering mengutamakan pencapaian akademik berbanding dengan kemahiran hidup.

Kebanyakan pelajar generasi ini menghadapi masalah dalam mengharungi liku-liku hidup yang kian mencabar. Walaupun mereka tergolong dalam golongan pelajar berprestasi tinggi, mereka menghadapi kesukaran untuk menjalinkan hubungan yang baik antara satu sama lain dan kurang kemampuan menangani tekanan hidup seharian.

Semasa pandemik Covid-19, kelas tradisional bersemuka terpaksa ditukar kepada kelas virtual. Guru terpaksa mencari pelbagai cara untuk memastikan kualiti pembelajaran dan pengajaran dikekalkan setaraf dengan kualiti sebelum kelas virtual diadakan. Dalam proses transformasi dari kelas tradisional ke kelas virtual, didapati lebih ramai pelajar menghadapi masalah emosi, malahan ada yang mengalami masalah kemurungan berbanding dengan masa sebelum pandemik.

Hal ini menyukarkan proses pengajaran dan pembelajaran secara maya. Bukan sahaja guru yang bertungkus lumus untuk membiasakan diri dengan transformasi tersebut, para pelajar juga menghadapi kesukaran dalam menghadapi transformasi tersebut. Ramai yang berasa lebih tertekan berbanding dengan masa sebelum pandemik Covid-19.

Dalam proses transformasi tersebut, guru telah berusaha untuk membantu para pelajar sama ada dari segi akademik mahupun dari segi psikologi. Dari segi akademik, pelbagai metodologi telah digunakan dalam proses pembelajaran dan pengajaran.

Dari segi psikologi pula, guru banyak meluangkan masa secara individu dengan pelajar untuk membantu para pelajar yang mengalami masalah psikologi. Guru juga menasihati para pelajar berkenaan untuk mendapatkan nasihat doktor. Guru bukanlah pakar psikologi. Oleh itu, ini adalah satu cabaran besar kepada para guru. Kajian mini ini dilaksanakan sebagai satu intervensi untuk membantu pelajar dari aspek psikologi, di mana guru  mengajar ‘Kotowaza’ dalam kelas. Kotowaza ialah peribahasa bahasa Jepun.

 

Bagaimanakah “Kotowaza membantu masalah emosi pelajar? Pembelajaran peribahasa tidak terhad semata-mata kepada maksud perkataan-perkataan dan nilai budaya yang terkandung dalam peribahasa. Perkara yang penting  ialah pengajaran falsafah yang terkandung di sebalik setiap peribahasa tersebut. Seperti yang dikatakan dalam prinsip pengajaran Konfusius, ‘Perkataan adalah penyampai kebenaran’. Berasaskan konsep Konfusius ini, guru menggunakan “Kotowaza” untuk memotivasikan pelajar dan mengajar mereka untuk menjadi lebih cekal dalam menghadapi cabaran hidup.

 

Pemilihan peribahasa

Dalam kajian ini, guru telah menyediakan satu senarai peribahasa bahasa Jepun yang umum dipakai. Terdapat banyak peribahasa bahasa Jepun namun adalah tidak mudah untuk memilih peribahasa yang sesuai dengan tahap pelajar kumpulan sasaran kajian ini yang kesemuanya masih pada tahap permulaan.

Kriteria lain yang dipertimbangkan dalam pemilihan peribahasa adalah maksud peribahasa yang boleh memotivasikan dan meningkatkan emosi pelajar. Demi mencapai matlamat pengajaran peribahasa, beberapa peribahasa telah dipilih dan di antaranya adalah ‘‘lain orang lain hati’, ‘sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’,dan ‘air pun ada pasang surutnya’. 

 

 

Pengajaran peribahasa

Disebabkan peribahasa bahasa Jepun tidak terkandung dalam sukatan pelajaran, pengajaran peribahasa hanya diajar dua kali sepanjang semester. Pengajaran peribahasa dijalankan semasa kelas bahasa Jepun bagi semua tahap.

Bagi kelas peringkat pertama di mana para pelajar merupakan pelajar yang langsung tidak mempunyai pengetahuan dalam Bahasa Jepun, peribahasa diajar sebagai latihan tambahan untuk memperkukuh pengenalan dan penyebutan huruf bahasa Jepun yang asas – Hiragana.

Manakala di dalam kelas tahap kedua, ketiga dan keempat, pengajaran peribahasa diajar pada pertengahan dan hujung semester. Perancangan sebegini adalah wajar memandangkan pada pertengahan semester, para pelajar semakin sibuk dan mula terasa bahang tekanan. Pada penghujung semester pula, kebanyakan mereka berada dalam fasa paling sibuk dan terlalu penat serta lebih tertekan.

Pengajaran peribahasa bahasa Jepun ini dijalankan dengan menggunakan Power Point. Pada mulanya, sebutan dan maksud peribahasa diajar dengan mendalam. Selepas itu, petikan-petikan daripada tokoh tersohor atau ahli falsafah yang mana maksudnya berkaitan dengan peribahasa tersebut juga dikongsi dengan pelajar.

Dengan ini pengajaran peribahasa menjadi lebih menarik. Para pelajar telah menunjukkan minat yang mendalam dalam mempelajari peribahasa Bahasa Jepun sekaligus belajar mengadaptasi tekanan hidup dan tekanan semasa belajar. 

 

 

Respon pelajar

Para pelajar menunjukkan minat yang tinggi terhadap pengajaran peribahasa. Terdapat pelajar yang berasa hairan dengan sebutan berlainan bagi perkataan yang sama. Hal ini disebabkan banyak huruf Kanji dalam bahasa Jepun mempunyai lebih daripada satu sebutan untuk huruf yang sama. Pelajar menunjukkan minat untuk mempelajari sebutan yang berlainan.

Terdapat juga pelajar yang membandingkan peribahasa yang baru itu dengan peribahasa dalam bahasa yang mereka sudah fasih seperti bahasa Malaysia dan bahasa Cina. Misalnya, dalam bahasa Malaysia, peribahasanya berbunyi: ‘Sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga’, tetapi dalam bahasa Jepun peribahasa yang sama maksud berbunyi: ‘Monyet pun jatuh dari pokok’. Terdapat juga pelajar yang membandingkan peribahasa bahasa Jepun dengan peribahasa bahasa Cina kerana banyak peribahasa bahasa Jepun sebenarnya berasal daripada peribahasa bahasa Cina.

Secara umumnya, respon pelajar adalah positif terhadap pengajaran peribahasa berdasarkan borang soal selidik yang diberikan. Mereka lebih bermotivasi selepas mempelajari perkataan-perkataan dalam peribahasa bahasa Jepun tersebut. Terdapat pelajar yang teruja untuk belajar lebih banyak lagi peribahasa-peribahasa yang bermakna itu.

Tidak dinafikan terdapat pelajar yang berpendapat bahawa makna peribahasa sukar difahami. Akan tetapi, kebanyakan pelajar berusaha untuk menghafal sebutan perkataan-perkataan yang lain daripada sebutan yang mereka telah kenali. Ada juga pelajar yang telah memakai frasa peribahasa bahasa Jepun yang dipelajari itu sebagai frasa profil mereka dalam whatsapp. Pelajar juga memberi maklum balas bahawa gabungan pengajaran peribahasa bahasa Jepun dan petikan-petikan daripada tokoh tersohor dan ahli falsafah telah secara langsung dan tidak langsung mendorong mereka untuk menjadi lebih positif dalam menghadapi cabaran hidup.

 

Limitasi Pelaksanaan Pengajaran Peribahasa

Walaupun pengajaran peribahasa bahasa Jepun menunjukkan impak dan respon yang baik dan positif, terdapat beberapa limitasi dalam pelaksanaannya. Pertama sekali, peribahasa tersebut tidak terkandung dalam sukatan pembelajaran. Jadi, adalah sukar untuk memasukkannya dalam rancangan pengajaran yang sudah padat.

Keduanya, walaupun kebiasaannya peribahasa merupakan frasa pendek, maksud yang terkandung adalah agak tersirat dan mengambil masa yang agak panjang untuk guru menjelaskannya bagi memastikan kefahaman pelajar.

Ketiganya, adalah sukar untuk menyukat sejauh mana impak positif peribahasa bahasa Jepun mempengaruhi semangat para pelajar.

 

Kesimpulan

Percubaan untuk memperkenalkan peribahasa bahasaJepun dalam kelas merupakan satu tindakan yang menggalakkan. Para pelajar akan mendapat manfaat daripada pengajaran peribahasa di dalam kelas. Mereka dapat mempelajari sesuatu yang baharu dan istimewa berbanding dengan sukatan pelajaran yang kadang-kadang membosankan. Hal ini telah membuka mata mereka dan menyedarkan mereka bahawa dunia bahasa Jepun itu luas dan menarik.

Mereka juga boleh membuat perbandingan budaya antara bahasa Jepun dengan bahasa yang mereka sudah fasih seperti bahasa Malaysia atau bahasa Cina. Paling utama, mereka dapat mempelajari nilai-nilai murni yang tersirat dalam setiap peribahasa terpilih. Walaupun dalam sukatan pelajaran di sekolah mahupun di universiti, pelajar tidak diajar cara menghadapi tekanan atau cabaran kehidupan, semoga dengan pengenalan peribahasa oleh tokoh tersohor ini mampu memanfaatkan para pelajar.

Pengajaran yang sebenar tidak terhad kepada pengajaran ilmu tetapi juga pengajaran hidup. ‘Sikit-sikit, lama-lama jadi bukit’. Maksud peribahasa ini sejajar dengan aspirasi bahawa “walaupun pengajaran peribahasa bahasa Jepun itu hanya satu langkah permulaan yang kecil, pasti bakal membuahkan hasil yang besar lagi bermakna suatu hari nanti”.  

 

Cheah Moey Lan et al
Author: Cheah Moey Lan et al

Cheah Moey Lan adalah Guru Bahasa Jepun di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, Trankskrian, Pulau Pinang. Beliau telah mengajar Bahasa Jepun selama lebih 25 tahun. Beliau cenderung dalam bidang penyelidikan berkaitan metodologi pengajaran dan pembelajaran serta terjemahan

 

Agnes Shanti Joseph adalah Guru Bahasa Inggeris di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, Trankskrian, Pulau Pinang. Beliau telah mengajar Bahasa Inggeris selama 15 tahun. Beliau cenderung dalam bidang penyelidikan berkaitan pembelajaran awal kanak-kanak dan pendidikan khas.

 

Suzila Mohd Shukor adalah Guru Bahasa Inggeris di Pusat Pengajian Bahasa, Literasi & Terjemahan, Kampus Kejuruteraan Universiti Sains Malaysia, Trankskrian, Pulau Pinang. Beliau telah mengajar Bahasa Inggeris selama 24 tahun. Beliau cenderung dalam bidang penyelidikan berkaitan alat bantu mengajar dan pentaksiran rakan sebaya.