Bilakah kali terakhir kita berhadapan dengan persoalan yang sukar tanpa terus mencari jawapannya? Hari ini, sebelum sesuatu idea sempat terbentuk sepenuhnya dalam fikiran, kita sudah boleh menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk mendapatkan penjelasan, hujah atau pandangan.
Dalam beberapa saat sahaja, jawapan yang tersusun dan meyakinkan dapat dihasilkan, kadangkala dengan penyampaian yang lebih jelas daripada kemampuan kita menulis sendiri.Perkara ini merupakan pencapaian luar biasa yang telah mengubahkan cara kita belajar, bekerja dan berkomunikasi. Namun, di sebalik kemudahan ini, terdapat satu persoalan yang wajar kita renungkan: Apakah yang akan berlaku pada seni berfikir apabila kita tidak lagi perlu bersusah payah mencari jawapan?
Berfikir bukan sekadar memproses maklumat atau membuat kesimpulan. Melalui pemikiran, kita mentafsir pengalaman, membentuk kepercayaan dan menentukan perkara yang benar-benar penting dalam kehidupan. Apabila AI semakin menjadi sebahagian kehidupan seharian, kita berpeluang menilai semula bukan sahaja cara kita menggunakan teknologi, tetapi juga nilai pemikiran manusia. Untuk memahami perkara yang mungkin kita pertaruhkan, kita perlu melihat lebih jauh daripada sekadar jawapan yang dihasilkan dan meneliti proses pemikiran yang memberikan makna kepada jawapan tersebut.
Melangkaui Jawapan yang Betul
Kita sering mengaitkan kecerdasan dengan kebolehan memberikan jawapan yang betul. Pelajar dihargai kerana memberikan jawapan yang tepat, golongan profesional kerana menghasilkan penyelesaian yang berkesan, manakala ketidakpastian sering dianggap sebagai kelemahan. Namun, sebahagian daripada penemuan intelektual yang paling bermakna sebenarnya bermula dengan ketidakpastian. Persoalan yang tidak dijangka boleh mencabar andaian lama, perbezaan pendapat membuka ruang kepada sudut pandangan baharu, manakala kesilapan mampu memperdalam pemahaman. Oleh itu, nilai pemikiran bukan hanya terletak pada hasilnya, tetapi juga pada pengalaman intelektual sepanjang proses tersebut.
Terdapat perbezaan penting antara memiliki maklumat dengan memiliki kebebasan untuk berfikir
AI mampu menghasilkan penjelasan yang mendalam dan tersusun, tetapi membacanya tidak semestinya bermakna bahawa kita benar-benar memahami kandungan tersebut. Pemahaman menuntut kita menghubungkan maklumat baharu dengan pengetahuan sedia ada, mengenal pasti batasannya dan menilai kebolehpercayaannya. Pemikiran juga melibatkan lebih daripada logik semata-mata. Ingatan, imaginasi, emosi dan pengalaman hidup mempengaruhi cara kita mentafsir dunia. Apabila berhadapan dengan keputusan yang sukar, kita bukan sahaja mempertimbangkan apa yang boleh dilakukan, tetapi juga apa yang adil, berperikemanusiaan dan bertanggungjawab.
Dimensi kemanusiaan ini memberikan kedalaman kepada pemikiran, walaupun manusia sendiri tidak terlepas daripada prasangka dan kesilapan. Terdapat perbezaan penting antara memiliki maklumat dengan memiliki kebebasan untuk berfikir. Yang pertama memberikan akses kepada pengetahuan, manakala yang kedua membolehkan kita menilai dan mempersoalkannya. Namun, untuk memupuk kebebasan berfikir, kita memerlukan sesuatu yang semakin sukar diperoleh dalam kehidupan moden, iaitu masa dan ruang untuk merenung.
Kebijaksanaan untuk Memperlahankan Langkah
Keupayaan kita untuk berfikir turut dipengaruhi oleh kehidupan seharian. Masyarakat moden amat mementingkan kecekapan, produktiviti dan hasil yang segera, sehingga pertimbangan yang teliti kadangkala dianggap membuang masa. Berabad-abad yang lalu, penyair Parsi, Ferdowsi, pernah mengingatkan manusia tentang bahaya sikap terburu-buru:
دل و مغز را دور دار از شتاب
خرد را شتاب اندرآرد به خواب
Del o maghz rā dur dār az shetāb
Kherad rā shetāb andar ārad be khāb
“Jauhkan hati dan fikiranmu daripada sikap terburu-buru,
Kerana ketergesaan akan membuat kebijaksanaanmu terlena.”
— Ferdowsi, Shahnameh
Walaupun diungkapkan dalam konteks sejarah yang berbeza, kata-kata ini semakin relevan dalam dunia teknologi hari ini. Kita semakin mahir mempercepat pelbagai urusan, tetapi tidak semua keputusan penting menjadi lebih baik apabila dibuat dengan segera. Renungan yang mendalam membolehkan kita mempertimbangkan akibat sesuatu tindakan, memahami perbezaan nilai dan membezakan perkara yang mendesak daripada perkara yang benar-benar penting. Renungan juga membantu kita menyedari bahawa reaksi awal mungkin dipengaruhi oleh emosi, kebiasaan atau maklumat yang tidak lengkap. Namun, mencari masa untuk berfikir bukanlah mudah.
Pelajar berdepan dengan jadual yang padat, pendidik perlu mengimbangi tanggungjawab pengajaran dan pentadbiran, manakala golongan profesional sentiasa berhadapan dengan tuntutan produktiviti. AI boleh membantu mengurangkan sebahagian tekanan ini, tetapi manfaatnya tidak seharusnya dijadikan alasan untuk terus meningkatkan kepantasan kerja. Masa yang dijimatkan melalui teknologi sepatutnya membuka ruang untuk kehidupan yang lebih teliti dan penuh pertimbangan, bukan sekadar menambah bebanan kerja. Keperluan ini amat penting dalam bidang pendidikan, tempat tabiat berfikir mula dibentuk dan dipupuk.
Pendidikan Melangkaui Maklumat
Keupayaan AI yang semakin berkembang mencabar beberapa andaian yang telah lama menjadi asas pendidikan. Apabila pelajar boleh menghasilkan esei, mendapatkan penjelasan dan merumuskan bahan bacaan yang kompleks hampir serta-merta, hasil kerja yang kelihatan berkualiti tidak lagi boleh dijadikan kayu ukur pembelajaran yang boleh dipercayai sepenuhnya. Hal ini tidak bermakna bahawa aktiviti membaca, menulis atau memperoleh pengetahuan sudah tidak relevan. Sebaliknya, perkembangan ini mengajak kita menilai semula tujuan sebenar aktiviti tersebut.
Pendidikan seharusnya membantu pelajar mentafsir bukti, membina hujah, mengenal pasti percanggahan dan menyampaikan idea dengan kejujuran intelektual. Kebolehan ini tidak boleh dinilai berdasarkan hasil akhir tugasan semata-mata. Kita perlu memberikan perhatian yang lebih besar terhadap proses yang dilalui oleh pelajar sebelum mencapai sesuatu kesimpulan. Meminta mereka menjelaskan alasan di sebalik pendapat, membandingkan tafsiran atau menilai secara kritis bahan yang dihasilkan oleh AI dapat memperlihat tahap penglibatan intelektual mereka. Hal ini adalah sama penting dengan usaha memupuk sifat ingin tahu. Pelajar seharusnya berasa selesa untuk mengemukakan soalan di luar kebiasaannya, menyatakan ketidakpastian dan mengubahkan pandangan apabila menemui alasan yang lebih meyakinkan. Bilik darjah yang hanya menumpukan satu jawapan yang telah ditetapkan tidak memberikan ruang yang luas untuk penemuan bermakna.
Para pendidik juga memerlukan sokongan institusi kerana pengajaran yang bermakna menuntut masa untuk berdialog, memberikan maklum balas dan mencuba pendekatan baharu. Tujuan pendidikan bukanlah untuk bersaing dengan mesin dalam usaha mendapatkan maklumat, tetapi untuk melahirkan insan yang mampu menggunakan pengetahuan secara bertanggungjawab, kreatif dan berdikari. Keupayaan ini penting bukan sahaja di dalam bilik darjah, malah sepanjang kehidupan seseorang.
Risiko terbesar dalam era AI mungkin bukanlah apabila mesin semakin berupaya untuk berfikir, tetapi apabila kita sendiri secara beransur-ansur kehilangan keyakinan terhadap nilai pemikiran kita.
Berfikir Seiring dengan Kecerdasan Buatan
Kemunculan AI tidak semestinya melemahkan pemikiran manusia. Sebaliknya, teknologi ini berpotensi memperluas keupayaan kita untuk meneroka idea dan pengetahuan. Pelajar boleh menggunakan AI untuk memahami konsep baharu sebelum membincangkannya dengan guru atau pensyarah.
Penyelidik boleh meneliti penjelasan alternatif yang mungkin terlepas pandang, manakala mereka yang mempelajari bahasa baharu boleh membina keyakinan untuk berkomunikasi. Perkara yang penting ialah tujuan kita menggunakan teknologi tersebut. Daripada sekadar meminta jawapan, kita boleh menggunakan AI untuk mengenal pasti kelemahan hujah, mengemukakan pandangan yang berbeza atau mencadangkan persoalan yang belum dipertimbangkan. Dengan cara ini, teknologi boleh menjadi rakan dalam penerokaan intelektual dan bukannya pengganti pemikiran manusia.
Namun, keupayaan AI menghasilkan idea tidak menghalang tanggungjawab kita terhadap cara idea tersebut diaplikasikan. Sesuatu penyelesaian mungkin berkesan dari sudut teknikal, tetapi mungkin mengabaikan keperluan orang lain. Pertimbangan manusia tetap penting kerana keputusan kita mempunyai implikasi etika dan sosial yang tidak boleh ditentukan berdasarkan kecekapan teknologi semata-mata. Peluang memanfaatkan AI juga bergantung pada akses terhadap teknologi dan pendidikan. Tidak semua orang mempunyai sumber atau keyakinan yang sama untuk menggunakan teknologi baharu. Oleh itu, pembangunan AI perlu memberikan perhatian terhadap keterangkuman, bukan hanya inovasi.
Akhirnya, masa depan pemikiran manusia tidak ditentukan oleh teknologi semata-mata, tetapi juga oleh tabiat yang kita pupuk, nilai yang diutamakan oleh institusi dan peluang yang diberikan kepada setiap individu untuk mengembangkan keupayaan intelektual mereka.
Risiko terbesar dalam era AI mungkin bukanlah apabila mesin semakin berupaya untuk berfikir, tetapi apabila kita sendiri secara beransur-ansur kehilangan keyakinan terhadap nilai pemikiran kita. Kita mungkin mula menyamakan kelancaran penyampaian dengan pemahaman, kemudahan dengan kebijaksanaan, dan kepantasan dengan kemajuan. Namun, sehebat mana pun pencapaian teknologi, tanggungjawab untuk menentukan apa pun yang benar, yang adil dan dunia seperti yang ingin kita bina tetap berada pada tangan manusia. Seni berfikir bukanlah sesuatu yang perlu kita pertahankan semata-mata kerana merindui zaman sebelum kewujudan AI. Sebaliknya, seni ini walau secanggih mana pun teknologi kecerdasan yang dibangunkan mestilah dipandu oleh kebijaksanaan dan kearifan manusia.


